Nak pergi Haji tapi hutang masih ada..itulah topik aku pada kali ini..
Dalam isu berkaitan, timbul banyak persoalan seperti sama ada individu yang sedang menanggung hutang wajib atau wajar menunaikan haji.
Adakah pembayaran hutang perlu didahulukan dari menjadi tetamu Allah di Baitullah al-Haram?
Bagaimana pula jika hutang untuk tempoh yang panjang? Selain itu adakah wajar pula berhutang untuk menunaikan haji.?
Artikel ini dibuat bagi menjelaskan isu ini secara padat dan ringkas serta tidak terlalu berat dengan hujjah ilmiah.
Pertamanya elok jika kita melihat kepada firman Allah dari ayat :-
وَلِلّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً
Ertinya : ".. mengerjakan Haji adalah kewajiban manusia kepada Allah swt iaitu (bagi) orang yang berkemampuan dan sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah;.." ( Al-Imran : 97 ) Para ulama sepakat menyatakan hukum wajib tidak akan tertanggung ke atas seseorang lelaki dan wanita selagi syarat "istita'ah" atau ‘kemampuan' belum diperolehi. Pengertian istita'ah secara mudah lagi ringkas, adalah SEBAGAIMANA YANG DINYATAKAN OLEH NABI s.a.w ketika ditanya akan ertinya, baginda Nabi s.a.w menjelaskan : الزاد والراحلة Ertinya : Bekalan dan pengangkutan perjalanan ( Riwayat At-Tirmidzi; berkata At-Tirmidzi & An-Nawawi : Hadis Hasan : Al-Majmu', 7/41 [1]) Jelas dari hadis yang memperincikan erti istita'ah di atas, terdapat dua perkara utama iaitu :- 1- Bekalan Erti bekalan di sini adalah bekalan makanan, minuman dan pakaian yang mencukupi sepanjang pemergiannya sehinggalah kepulangannya. ( I'anah At-Tolibin, 2/281 ; Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/316) 2- Kenderaan dan Perjalanan Kenderaan dan perjalanan mestilah sesuai dan diyakini keselamatannya, kenderaan pula mestilah diperolehi sama ada dengan membelinya atau menyewa. ( Al-Mughni, Ibn Qudamah) DUA ISU UTAMA Dua bekalan yang perlu untuk syarat kewajiban haji adalah jelas, namun bagaimana dengan isu yang ingin kita bincangkan? Ia seperti berikut :- a) Berhutang melalui pembiayaan Islam untuk menunaikan haji Berhutang untuk menunaikan Haji jika dilihat dari satu sudut, ia seolah-olah menunjukkan ketidakmampuan seseorang atau belum mempunyai kelayakan dan bekalan mencukupi untuk menunaikan ibadah Haji. Dari sudut yang lain pula, ia mungkin juga boleh menunjukkan status kemampuan, cuma kemampuan itu memerlukan sedikit masa, maka untuk mempercepatkan status ‘mampu', ia membuat pinjaman. Jika itu dua kemungkinannya, adakah seseorang dituntut untuk meminjam semata-mata untuk tujuan Haji.? Apatah lagi pembiayaan dari Institusi Kewangan yang akan menyebabkan kos yang lebih tinggi dari harga asal kos haji. Jawab ringkasnya TIDAK PERLU DAN IA BUKAN PRIORITY. Itulah jawapan ringkas yang diberikan oleh Nabi s.a.w apabila ditanya oleh seorang sahabatnya Abdullah Bin Abi Awfa, سألته عن الرجل لم يحج أيستقرض للحج ؟ قال : لا Ertinya : Berkata Abdullah : Aku bertanya kepada Nabi s.a.w berkenaan seorang lelaki yang belummenunaikanHaji, adakah boleh ia meminjam wang untuk Haji? , jawab Nabi : TIDAK" (Musnad As-Syafie ; 1/109 ; Al-Um, 2/116 ) Imam Asy-Syafie berkata berselepas itu : ومن لم يكن في ماله سعة يحج بها من غير أن يستقرض فهو لا يجد السبيل Ertinya : Barangsiapa yang tidak mempunyai kemudahan, keluasan (lebihan) harta yang membolehkannya menunaikan haji tanpa membuat pinjaman, ketika itu DIA DIANGGAP TIDAK BERKELAYAKAN ( TIADA BEKALAN) UNTUK PERGI HAJI" ( Al-Umm, 2/116) Islam tidak memberatkan kecuali kepada mereka yang benar-benar sudah sampai kemampuan dan bukan kemampuan yang dipaksa-paksa sebelum tiba saatnya. Imam Ibn Qudamah menjelaskan bahawa para ulama hampir sepakat menyatakan bahawa belanja bekalan itu mestilah :- أن يكون هذا فاضلا عما يحتاج إليه لنفقة عياله الذين تلزمه مئونتهم في مضيه ورجوعه لأن النفقة تتعلق بها حقوق الآدميين , وهم أحوج وحقهم آكد...وأن يكون فاضلا عن قضاء دينه Ertinya : Dan hendaklah (bekalan ini) adalah harta yang lebih dari apa yang wajib ke atas tanggungjawabnya dari nafqah keluarga yang wajib disediakannya semasa pergi dan kembalinya, ini adalah kerana nafqah berkait dengan hak manusia, dan ia adalah lebih perlu dan diutamakan ( dalam hal ini dari Haji yang merupakan Hak Allah semata-mata),...selain itu mestilah bekalan ia dari harta yang lebih dari mencukupi untuk melunaskan hutangnya. ( Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/317) Namun demikian, jika hutang baru itu TIDAK menjejaskan keseluruhan tanggungjawab (kewajiban) hartanya kepada yang berhak (seperti anak dan isteri), kerana ia mempunyai simpanan yang mencukupi atau harta lain (dalam bentuk hartanah atau lain-lain) yang boleh dijual apabila perlu, tatkala itu, TINDAKAN BERHUTANG TADI BOLEH MENJADI HARUS. Sebagaimana kata Imam As-Syafie : ولكن إن كان ذا عرض كثير فعليه أن يبيع بعض عرضه أو الاستدانة فيه Ertinya : "Tetapi jika ia mempunyai harta yang banyak, bolehlah ia menjual sebahagiannya atau berhutang (kerana yakin boleh membayar balik hutang kerana mempunyai harta bukan dalam bentuk wang tunai )" ( Al-Umm, 2/116) b) Hutang belum selesai tetapi ingin menunaikan haji. Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan bahawa seseorang yang masih tersangkut dengan bebanan hutang TIDAK WAJIB untuk menunaikan haji. Sebagai yang dijelaskan di atas, ulama sependapat bahawa ‘bekalan' yang dimaksudkan oleh Nabi adalah lebihan harta berbanding tanggungan asasinya, justeru hutangnya terhadap individu perseorangan adalah termasuk dalam tanggungjawab asasinya seperti juga nafqah wajib. Selain itu, hutang individu perseorangan yang bersifat jangka pendek MESTILAH diselesaikan sebelum pergi menunaikan Haji. Sebagai contoh, terdapat beberapa individu yang masih berhutang dengan saya sebanyak RM3000, sedangkan janji pelunasan hutang sudah terlewat sekitar setahun dan beberapa bulan. Kesannya, individu ini tidak layak menunaikan haji kecuali telah melunaskan hutang yang telah dimungkiri tempohnya terlebih dahulu, ATAU sebagai pilihan lain, WAJIBLAH atasnya meminta izin dari saya (pemberi hutang) menunaikan Haji. Tujuannya adalah agar pemberi hutang, boleh redha jika sesuatu berlaku kepadanya sewaktu di tanah suci lalu samada menghalalkan hutang berbaki atau menuntut dari waris keluarganya.Tanpa izin, ia tidak seharusnya pergi menunaikan Haji. Justeru, sekiranya pihak kerajaan ingin mengeluarkan khidmat pembiayaan Islam bagi mereka yang berhasrat menunaikan Haji, seluruh pertimbangan ini mestilah diberikan dan disemak kepada pemohon sebelum kelulusan diberi, agar khidmat yang bertujuan baik oleh kerajaan tidak tersilap sasaran sehingga membawa mudarat kepada individu yang kurang berkemampuan, lalu menjerumuskan mereka di dalam perkara haram. Kerajaan Malaysia diketahui ‘cuba' berpegang dengan mazhab Syafie dalam banyak pendapat Fiqhnya, justeru dalam hal ini Imam Syafie sendiri telah meriwayatkan hadis berkenaan larangan meminjam untuk menunaikan haji. Maka jika ulama rasmi kerajaan ingin mengambil pendapat lain, mereka perlulah berhati-hati serta menilai syarat-syaratnya dan tidak tergesa-gesa. HUTANG INSTITUSI KEWANGAN Namun demikian, terdapat perbezaan di antara hutang individu dengan hutang Institusi Kewangan yang berpanjangan selama bertahun-tahun malah ada yang mencecah 30 tahun seperti pembiayaan rumah. Seperti kes pembiayaan tersusun kepada institusi kewangan, terutamanya bagi mereka yang mengamalkan pembayaran melalui pemotongan gaji. Seorang jutawan muslim di sebuah masjid di Kuala Lumpur pernah berkata kepada :- "Ustaz kalaulah berhutang itu menghalang seseorang pergi haji, saya pastinya tidak akan pergi haji sampai bila-bila, walaupun saya ada harta yang banyak" "Mengapa kata demikian?" Tanya saya "kerana saya ada syarikat sendiri, dan syarikat sentiasa ada hutang baru, biasalah ustaz, bisnes sederhana dan besar tanpa wujud hutang adalah tidak logik. So, adakah kerana hutang syarikat saya ini menyebabkan saya tidak berkelayakan menunaikan Haji?" balasnya perlahan dan sangat berminat mendengar jawapan. "Ooo, hutang jenis tu lain sikit cara pengendaliannya, tapi masih ada syarat" jawab saya ringkas Benar, hutang dari jenis ini TIDAK menjejaskan kelayakan mereka untuk menunaikan haji DENGAN SYARAT, pemergiannya ke Haji tadi TIDAK AKAN membawa masalah kepada pembayaran hutang sistematik kepada institusi kewangan tadi. Jika diyakini pemergiannya ke Mekah, BAKAL menyebabkan terjejasnya kedudukan kewangannya sehingga diyakini boleh menjejaskan tanggungjawab wajibnya seperti nafqah, dan hutang wajib kepada institusi kewangan. Tatkala itu, TIDAK WAJAR baginya untuk menunaikan Haji malah pemergiannya boleh membawa kepada haram, ini kerana telah sedia maklum bahawa apa-apa yang diyakini membawa kepada haram, maka hukumnya juga jatuh HARAM. Disebutkan oleh para ulama Islam satu kaedah yang dipetik dari dalil-dalil al-Quran dan hadis :- ما يؤدي إلى الحرام فهو حرام Ertinya : Apa-apa yang membawa kepada haram, hukumnya adaah haram ( Majma Al-Anhar, 4/251 ; Rujuk perincian dalam ‘Ilam Al-Muwaqqi'ien, Ibn Qayyim, 3/137 ) Ia juga boleh difahami dari firman Allah yang mengharamkan segala bentuk dan jenis permulaan kepada zina. Bermakna, bukan hanya zina sahaja yang haram, segala bentuk tindakan dan perilaku yang boleh membawa zina juga adalah haram seperti peluk, cium, renungan mata, chat bersyahwat, telefon bersyahwat dan lain-lain. Demikian juga halnya haji dengan keyakinan membawa mudarat kepada hak pemilik hutang dari kalangan individu dan institusi kewangan. KESIMPULAN Tiada jawapan satu baris bagi kedua persoalan di atas kecuali perincian dan semakan terhadap kemampuan individu dan kiraan semula nafqah wajibnya. Hanya selepas itu baru dapat di pastikan sama ada berhutang untuk menunaikan Haji dibolehkan atau sebaliknya. Demikian juga halnya bagi mereka yang sedang terikat dengan hutang, perlu ditinjau jenis hutang dari pelbagai aspek dan hanya selepas itu boleh ditentukan sama ada individu ini boleh menunaikan Haji. Tanpa penilaian yang tepat, seseorang itu mungkin sahaja pergi haji dengan dosa kerana mengabaikan hak individu lain yang lebih berhak ditunai segera. Sebagaimana berdosanya seorang isteri yang berpuasa sunat tanpa izin suami.
sumber http://www.zaharuddin.net/