Jumaat, 24 April 2009

Apakah ESQ 165?

ESQ Training adalah sebuah latihan kepimpinan dan bina insan yang mengintegrasikan kecerdasan intelektual, emosional dan spiritual telah menjadi sebuah fenomena baru di Malaysia. 

Selalunya kita terdedah dengan model-model pembinaan insan dari Barat dan kini lahir sebuah Model Pembinaan Karakter yang diadun berdasarkan ilmu pengurusan moden, sains dan psikologi dari Timur. 

Latihan yang menggunakan teknologi multi media, animasi dan sistem bunyi yang bertaraf konsert ini telah melatih lebih 26,000 pekerja, individu dan pelajar di negara ini sejak tahun 2006. 

Di seluruh dunia, seramai hampir 700,000 orang telah melalui latihan pembentukan karakter ini. 

Kesan latihan ini ke atas pembentukan karakter dikatakan sangat signifikan untuk tujuan penyatuan dan mengeluarkan nilai-nilai intrinsik seperti kerjasama, kejujuran, keprihatinan, disiplin dan sebagainya dalam kalangan warga kerja, pelajar hingga warga emas. 

ESQ Leadership Center Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang mengendalikan latihan modal insan yang telah diperbadankan di negara ini di bawah Akta Syarikat 1965 pada 18 September 2006. 

Syarikat ini mula beroperasi sepenuhnya dengan aktif menawarkan latihan bulanan ESQ Training secara umum dan mengadakan latihan modal insan bermula 2006 untuk ‘training’ secara ‘in-House’ dan terbuka. 

Sepanjang kewujudannya di negara ini ramai yang ingin tahu perkara berkaitan dengan ESQ dan latihan yang dijalankan. Dirangkumkan pertanyaan tersebut dan jawapan ESQ untuk tatapan semua. 


Apakah maksud di sebalik model ESQ 165 itu? 

Melalui 1 ihsan, 6 prinsip iman dan 5 prinsip Islam menjawab pemisahan yang selama ini wujud antara masalah membangun sumber manusia yang hebat di dunia, tetapi juga memiliki keupayaan mencapai kejayaan di akhirat. 

Konsep pembangunan sumber manusia seperti ini pernah diajarkan 1400 tahun yang lalu oleh seorang nabi yang ummi iaitu Muhammad SAW. Kemudian konsep itu saya tulis dalam sebuah buku, yang memaparkan hal-hal berkaitan kepimpinan, pengurusan dan pemasaran. Hasil penulisan dalam buku itu kemudian dibuat menjadi modul training. Subhanallah sambutan yang diberikan orang ramai amat menggalakkan. Ramai yang memberikan maklum balas inilah sebuah jawapan yang selama ini mereka cari iaitu mewujudkan sebuah syarikat yang berjaya dan karyawannya bahagia nuraninya. Kecerdasan intelektual, emosional dan spiritual apabila digabungkan The Esq Way 165 adalah jawapannya. 


Bagaimana ESQ mengolah model ini, kerana selama ini hal berkaitan dengan agama anggapan ramai mesti di bawa oleh seorang yang memiliki latar belakang pendidikan agama? 

Rukun Islam yang lima; syahadat, solat, puasa, zakat dan haji. Rukun Iman yang enam; beriman kepada Allah, kepada nabi dan rasul, kepada malaikat, kepada kitab, hari kemudian dan takdir, kemudian yakin pada ihsan adalah hal yang sangat asas. 

Ini menjadi pelajaran semasa di sekolah rendah. Jadi ilmu berkaitan hal ini semua umat Islam mampu memahami. Sehingga ketika ‘basic principal’ Islam ini menjadi model, mudah untuk difahami. ESQ tidak membahaskan tentang ilmu yang mendalam seperti tajwid, hal-hal khilafiah atau perbezaan mazhab dalam fekah. 

Tetapi yang diambil adalah sebuah model sederhana. Rukun Islam yang lima, Rukun Iman yang enam dan prinsip ihsan. Selama ini ilmu ini mungkin terpisah dengan ilmu kepimpinan, pengurusan dan perniagaan. 

Dalam hal ini pengasas ESQ, Dr Ary Ginanjar mempunyai seorang guru. Namanya Kiyai Haji Habib Adnan. Beliau baru sahaja meninggal dunia pada usia 98 tahun. Hafiz al-Quran dan pernah menjadi Ketua Majlis Ulama di Bali. Beliau memeriksa semua buku dan modul latihan yang diolah. Beliau pastikan supaya sejalan dengan al-Quran dan hadis. 

Buku tersebut sebelum diterbitkan juga diperiksa oleh beliau dan tokoh Islam di Indonesia, antaranya Ketua Majlis Ulama Indonesia, Profesor Dr Kiyai Ali Yafi. Termasuk juga oleh sejumlah ulama Nahdathul Ulama, Muhamadyah, ICMI dan lain-lain lagi. Barulah kemudian buku dicetak dan diedarkan. 


Dalam buku atau modul ‘training’, terdapat beberapa istilah seperti suara hati, ‘god spot’, istilah Zero Mind Proses (ZMP). Boleh dijelaskan bagaimana istilah ini boleh muncul? 

ESQ ingin nilai-nilai 165 itu secara universal boleh di terima di seluruh dunia. Bahkan boleh di terima oleh siapa pun. ESQ ingin membuat sebuah konsep pemikiran ‘human resources’ yang mampu di terima siapa pun bersumberkan nilai-nilai 165 atau Ihsan, Iman dan Islam. Namun ketika disampaikan hal ini di depan syarikat-syarikat internasional, di depan orang-orang barat, di depan orang-orang Jepun, di depan orang-orang psikologi, di depan para manager, para chairman. ESQ tidak mungkin menjelaskan dengan menggunakan pelbagai bahasa Arab. ESQ tidak mungkin menjelaskan dengan bahasa yang mereka tidak fahami. ESQ harus mempergunakan bahasa kaum, ESQ harus menggunakan bahasa universal untuk di terima. Ketika kita menjelaskan berasaskan ilmu yang mereka faham barulah kita jelaskan bahawa kesemuanya bersumberkan yang di ambil dari dasar-dasar Al Quran, Rukum Iman, Rukun Islam dan Ihsan. 


Berkaitan dengan suara hati, ada yang bimbang sekiranya fahaman ini ada kaitan dengan fahaman Wahdatul Wujud. Mohon penjelasan! 

Manusia cenderung akan nilai keindahan. Manusia sentiasa suka dengan nilai kejujuran, kerjasama, keadilan, dan nilai-nilai kemuliaan. Pertanyaannya, dari mana nilai ini terbentuk. Mengapa manusia seluruh dunia menyukai nilai yang sama. Bahkan sebuah kajian yang di jalankan Barry Z Posner berkaitan nilai yang di sukai di seluruh dunia, di Amerika, di Eropah, di Afrika dan di Asia, manusia menginginkan sifat jujur, sifat adil, sifat kerjasama dan sifat-sifat mulia lain yang kemudian dalam training saya tulis 20 CEO Character. Pertanyaan ini selama ini tidak terjawab. Ada yang mengatakan ini adalah disebabkan bentukan sosial, ajaran orang tua, dan pelbagai sebab lainnya. Akhirnya ESQ mendapati di dalam al-Quran bahawa Allah itu pemilik Asmaul Husna. Dan dia yang menciptakan manusia. Ertinya sifat mulia itu bukan dibentuk oleh lingkungan tapi ia di ciptakan. ESQ melihat ada keterkaitan bahawa nilai-nilai ini terbentuk kerana manusia pernah berjanji pada Yang Maha Pencipta pemilik Asmaul Husna. Akhirnya manusia terus mencari sifat-sifat Allah dan mencari supaya dia ingat kepada yang Maha Pencipta. Dan ini bukan wahdatul ujud, bukan didalam diriku ada tuhan tapi ini adalah bukti bahawa nilai-nilai karakter baik manusia itu adalah diciptakan oleh Allah, bukan dibentuk oleh lingkungan. Hingga manusia apapun sukunya, dari manapun asalnya sentiasa mencari nilai-nilai yang bersumber dari Allah pemilik Asmalulhusna. Jadi dalam ESQ training kita mengajar manusia untuk cenderung bersikap baik seperti Allah bersikap baik pada manusia. Itu bukan Wahdatul Wujud tapi pengakuan akan Allah pencipta jiwa manusia, pencipta emosi manusia, pencipta suara hati manusia. 


Kita sudah ada Al-Quran, ada Hadis yang boleh dijadikan panduan. Jadi apa maksud ungkapan kita perlu berpandukan kepada suara hati? 

Justeru perintah dari al-Quran dan Hadis menyuruh kita agar mempergunakan suara hati. Misalnya dalam satu hadis, Rasullullah SAW bersabda di dalam jiwa manusia itu ada segumpal daging. Apabila baik, baik lah dia. Apabila buruk maka buruklah dia. Dan itu adalah hati. Kemudian dalam al-Quran ada ayat yang menyatakan; Berjalanlah engkau ke muka bumi bukankah engkau punya hati dengan itu kau berasa, bukankan kah engkau punya telinga dengan itu kau mendengar, bukan mata mu yang buta tapi hatimu di dalam dada. Maaf bukan menjelaskan tentang ilmu agama tapi ingin mengatakan juga bahawa dalam ilmu ‘human resources’ model ESQ 165 juga berasaskan nilai nilai al-Quran tadi. Justeru suara hati adalah hal bersumberkan al-Quran dan hadis. 


Bagaimana manusia biasa boleh mengenal pasti suara hatinya itu suara hati yang selari dengan kehendak al-Quran dan hadis? 

Itulah pentingnya ikut training ESQ supaya faham apa itu suara hati, apa itu emosi. Kalau suara hati kita tidak tahu, emosi tentu juga tidak tahu. Bagaimana kita bisa mengikuti suara hati. Di dalam training di latih untuk memahami yang mana suara hati, yang mana emosi. Tapi tentu saya tidak bisa menjelaskan yang ini kerana yang ini tidak di ucapkan tapi di rasakan. Kerana di sini adalah kemampuan untuk merasa, what do I feel. Ini mempergunakan system ‘limbic’ dan ‘God Spot’ untuk mampu merasakan dan untuk mampu mendengar ‘inner voice’ atau suara hati itu sendiri. Dan itu perlu pelatihan tiga hari untuk memahami hal ini. 


Dalam training ESQ diceritakan tentang pencarian nabi dan rasul. Ada kisah pencarian Nabi Musa. Ada kisah pencarian Nabi Ibrahim. Dan juga kisah pencarian Nabi Muhammad. Juga kisah pencarian penemu model ESQ terhadap nilai nilai kebenaran dan ada yang takut timbul pandangan menyamakan pencarian Nabi dan Rasul itu dengan pencarian penemu model ESQ. Dan tafsirannya nanti menyamakan kisah pencarian manusia biasa dengan kisah nabi ataupun timbul anggapan satu hari nanti ESQ pembawa kebenaran baru? 

Ini pertanyaan yang menarik sekali. Sesungguhnya pencarian manusia biasa dan pencarian nabi berbeza. Kalau pencarian nabi itu berakhir dengan wahyu dari Allah. Sedangkan pencarian manusia biasa siapa sahaja di zaman ini berakhir hanya sebagai hidayah atau hikmah. Jadi berbeza sekali kalau pencarian nabi dia berakhir dengan wahyu yang kemudian dipilih oleh Allah menjadi nabi. Jadi kisah tersebut bukan menyamakan antara pencarian nabi dengan pencarian manusia biasa seperti kita. 

Pencarian itu adalah sebuah fitrah manusia akan terus mencari makna kehidupan. Inilah fungsi dari God Spot yang ada pada fungsi otak manusia hingga manusia tidak pernah merasa selesai mendapatkan jawapan akan tujuan akhir kehidupan. Inilah makna pencarian yang ditulis dalam buku ESQ. Kita semua harus terus mencari. Tapi apabila tersesat maka yang didapatkan salah. Sedangkan pencarian para nabi, contoh pencarian Nabi Muhammad adalah dia tidak mahu bergantung dan mengikuti apa yang menjadi amalan kaum Quraisy. Tapi dia terus mencari hakikat kebenaran yang tidak dipengaruhi oleh masyarakat sekelilingnya. Yang pada akhirnya turun wahyu Al-Quran. Inilah letak perbezaan yang sangat asas. Kita mesti yakin dan percaya bahawa nabi terakhir ialah Nabi Muhammad s.a.w dan tidak ada nabi setelah itu. 


Biasanya hal-hal yang berkaitan agama ni ada semacam ketakutan di kalangan sesetengah pihak takut nanti wujud keinginan yang bersangatan terhadap orang yang membawanya sehingga timbul unsur-unsur taksub. Terdapat beberapa penonjolan gambar semasa training dan adakah tidak bimbang jika nanti menimbulkan unsur ketaksuban? 

Training ESQ ini dijalankan oleh lebih 50 orang pelatih yang berbeza-beza, jadi tidak mungkin akan terjadi taksub. Training ESQ hanya mengajar taksubnya kepada Allah dan kepada Nabi Muhammad SAW. Setiap kali penutupan training, para trener mengatakan bahawa sesungguhnya apabila berterima kasih dan bersyukurlah hanya kepada Allah. Apabila kagum jangan kagum kepada ESQ atau trainer. Tapi kagumlah kepada Nabi Muhammad SAW yang mendapatkan ilmu 165 seribu empat ratus tahun yang lalu. Kerana itu mengapa para trainer mempergunakan tali leher, baju kot kerana ia tidak mungkin orang mahu taksub zaman sekarang kepada orang yang bertali leher dan baju kot. Biasanya orang taksub itu kepada orang yang memakai simbol-simbol keagamaan. Kerana training ini training sumber manusia atau ‘human resource’s, terdapat foto-foto pengalaman kajian penemu model di pelbagai tempat yang turut dijadikan bahan, sebagai bukti bahawa ESQ membuat kajian ke seluruh dunia dan sebagai hak paten modul training kami. 


Di Malaysia kadang-kadang wujud kebimbangan apabila sesuatu itu datang dari negara jiran seperti Indonesia. Misalnya soal Islam Liberal. Apabila ESQ membuat training, kemudian mendatangkan orang-orang yang bukan Islam dan mengajarkan sesuatu yang dilihat mungkin ada sedikit kelainan dan adakah ini ada unsur-unsur Islam Liberal yang dibimbangkan sesetengah pihak? 

Islam Liberal itu adalah Islam yang menyamakan semua agama. Sedangkan 165 adalah Ihsan pada Allah Yang Maha Esa, 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam itu adalah konsep tauhid yang boleh diaplikasikan pada semua manusia. Kalau ditanya apa manfaat yang diperoleh peserta yang bukan Islam ikut training ESQ, nilai 165 adalah nilai yang universal yang diterima oleh semua manusia. Jadi mereka dapat mengambil ilmu pengurusan, melihat Islam itu Rahmatan Lilalamin. 


Satu kelainan dalam training ESQ ini yang boleh kita saksikan, ESQ menampilkan ada layar, kemudian pelbagai kajian sains yang membuktikan kebenaran al-Quran. Bagaimana ESQ boleh terfikir sejauh itu dengan modul yang dipaparkan? 

Banyak kajian sains hari ini yang membuktikan kebenaran ayat-ayat al-Quran. Al-Quran itu adalah kalimat Allah dijelaskan oleh teori Big Bang. Teori itu di temukan baru saja di abad 20. Iaitu alam semesta dulu tunggal dan dengan dentuman besar lahir alam semesta. Itu teori yang di temukan Stephen Hawking. Kemudian juga ditemui penemuan ilmiah oleh Nasa. Ternyata kesemuanya itu telah dijelaskan al Quran 1400 tahun yang lalu. Ketika peserta training melihat ini, mereka automatik akan ‘surprise’ dan mereka yakin bahawa jelaslah ayat-ayat al-Quran bukanlah kalimat manusia. Di situlah rasa keimanan lahir di hati. Di situlah rasa keyakinan itu masuk di hati. Itu yang membuat mereka berasa bahawa Al Quran itu jelas bukanlah kalimat manusia, tetapi firman Allah. Nabi Muhammad jelaslah bukan manusia biasa tapi dialah rasul Allah. Dan ketika hal ini dirasakan, maka yang lahir adalah sebuah keyakinan spiritual yang kuat menghujam ke dalam hati manusia. 


Kenapa ESQ menamakan model sebagai 165? 

Model ini dinamakan 165 adalah ihsan, iman dan Islam. 1 ihsan adalah hal yang sering di lupakan. Orang begitu sibuk dengan yang ritual tapi nilai-nilai keihsanan, nilai-nilai kebaikan ini di lupakan. Mengapa? Kerana nilai ini jarang di ajarkan jarang di tekankan. Tapi yang di tekankan adalah formaliti ritualnya. Inilah alasan mengapa dipanggil 165. Kerana kita ingin mengangkat nilai-nilai keihsanan supaya diutamakan atau dinombor satukan saat ini. 


Dalam training ESQ juga menekankan bagaimana Jepun berjaya membangun. Boleh ceritakan bagaimana ESQ mendapat inspirasi tentang kebangkitan Jepun sehingga menjadi salah satu bahan dalam training tersebut sebab nilai ini dekat dengan dasar yang pernah diperkenalkan oleh pemimpin Malaysia sebelum ini iaitu dasar pandang ke Timur? 

Kita malu melihat masyarakat Jepun yang begitu baik berpegang kepada nilai-nilai tradisi yang mereka miliki. Contohnya nilai jujur, kami pernah naik teksi kemudian teksi ternyata terlajak daripada jalan yang sepatutnya kami tuju. Sedar terlajak, kemudian pemandu teksi itu mematikan meternya dan kemudian berpatah balik. Setelah itu semasa mahu dibayar, pemandu teksi tersebut menolak pembayarannya kerana dia berasa malu sebab membawa penumpang terlajak daripada destinasi yang dijanjikan. Nilai-nilai inilah yang dikenali dengan prinsip samurai yang kemudiannya mereka rumuskan menjadi prinsip Bushido. Kalau kita lihat nilai-nilai ini maka ini semua nilai-nilai yang selari dengan ajaran Islam seperti jujur, kesetiaan, kerja kuat dan sebagainya. Jepun selama ini menjadikan nilai itu sebagai pegangan dan budaya kerja. Kita ingin nilai 165 harus di pegang teguh untuk melahirkan sebuah karakter yang mulia yang bisa lebih baik dari Jepun. 


Bagaimana ESQ melihat situasi yang berlaku akhir-akhir ini terhadap ekonomi dunia? 

Ekonomi dunia runtuh kerana ketamakan, kerakusan manusia. Inilah bukti betapa fahaman kapitalisme melahirkan kerakusan ketamakan. Akibatnya runtuh institusi kewangan di Amerika yang kemudiannya menjalar ke seluruh ekonomi dunia. Hikmah besar bahawa ketika tatanan dunia berlandaskan kepada nilai kapitalisme, berlandaskan kepada nilai materialisme, kejujuran dan keadilan tidak dapat ditegakkan. Sedangkan nilai jujur, adil itu adalah nilai-nilai universal yang perlu ditegakkan. Krisis global saat ini harus di ambil hikmahnya untuk dijadikan momentum untuk perubahan dunia yang berlandaskan kapitalisme kepada nilai-nilai spiritualisme ketuhanan. Dan sekali gus adalah pergeseran zaman dari dunia yang berlandaskan materialistik kepada sebuah pemikiran baru berasaskan nilai-nilai spiritualisme ketuhanan. 


Maksud mudah pemikiran baru berasaskan nilai-nilai spiritualisme ketuhanan itu bagaimana? 

Jangan lagi memisahkan urusan dunia dan juga akhirat. Satukan semuanya. Jangan lagi memisahkan urusan untuk membentuk sumber insan yang hebat tapi pembangunan spiritual terpisah. Satukan semuanya. Jangan lagi memisahkan antara bagaimana membangun nilai nilai rohani tapi juga harus disatukan dengan nilai nilai intelektualitas. Kita yakin bahawa 165 adalah ‘The best way of life’ untuk menjawab semuanya dalam satu kesatuan menuju kehidupan yang bukan sahaja bahagia di dunia, tapi juga sejahtera di akhirat. Intelektual tinggi tapi hati penuh dengan ketenteraman dan kebahagiaan.

2 ulasan:

muhammedsmama berkata...

Sdr,satu paparan dan ulasan yg menarek dan membuka minda.Suhanallah.Sebarkan ilmu ini,kerana tak kenal maka tak cinta dan hanya jauhari sahaja yang kenal maknikam.Paman.

Tanpa Nama berkata...

Assalamu'alaikum...

Buat julung kalinya dibawakan ke Malaysia !

ESQ Parenting Seminar
"Better Parenting for a Better World"

Pada 10/10/10 (Ahad)
di SACC, Shah Alam
akan dibawakan khas oleh Pengasas Model ESQ, Dr.(H.C.) Ary Ginanjar Agustian..
(Penerima pelbagai anugerah dalam bidang pembangunan dan pembentukan karakter)

Harga : RM740
Promosi : RM1180 utk suami&isteri (2 org) - terhad hanya untuk pasangan sahaja
Untuk : Ibu, bapa, bakal ibu, bakal bapa, pendidik dan mereka yang berumur 18 tahun keatas dan yang ingin mengenali dan mengeluarkan potensi fitrah manusia yang luar biasa.

Apa yang akan anda dapati dari seminar ini ialah :

(i.) Fahami peranan & tanggungjawab sebenar sebagai ibubapa yang menjadi faktor utama pembentukan dan perkembangan personaliti anak.
(ii.) Ketahui bagaimana cara untuk mendorong kecemerlangan karakter & potensi diri anak yang mungkin selama ini tanpa disedari kita telah menghalang anugerah Yang Maha Esa ini pada mereka.
(iii.) Pendidikan anak tidak cukup hanya sekadar intelektual, maka singkaplah bagaimana cara untuk mencemerlangkan sumber emosi dan spiritual anak
(iv.) Penyatuan perbezaan pasangan dalam mendidik anak.

''Berikan yang terbaik buat permata hati.. Ibubapa cemerlang dambaan setiap insan''

Untuk pendaftaran dan informasi lebih lanjut tentang training ESQ, sila hubungi ESQ di talian: (03) 7728 1650 / 7725 1651,

Terima kasih.

Wassalam..

Sulami Kasih

 Alhamdulillah,14 Oktober 2023 yang lalu,merupakan 1 kenangan yang terindah buat aku. 1 penghormatan dan penghargaan buat diri aku atas sega...