Isnin, 9 Mei 2011

Turun Padang





Turun padang Skuad Sayang buktikan keprihatinan


TELOK DATOK – Kerjaya sebagai wartawan atau jurugambar bukanlah sesuatu yang mudah, pelbagai cabaran terpaksa dilalui semata-mata untuk menyalurkan pelbagai maklumat kepada masyarakat. Sehubungan itu, Biro Kebajikan dan Skuad Sayang Bahagian Kuala Langat mengadakan kunjungan dan aktiviti gotong-royong di rumah bekas wartawan akhbar, Hamzah Nor Gabuh di Taman Sri Telok Datok, semalam dalam membuktikan keprihatinan mereka kepada insan yang kurang bernasib baik. Usaha yang dilakukan ini perlu dicontohi bagi meningkatkan semangat perpaduan dalam masyarakat. Komandan Skuad Sayang, Zabaidah Talib, berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk turun padang bagi menjalankan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, membuat lawatan dan yang berkaitan dengan kebajikan. Menurutnya, sejak wujudnya Skuad Sayang, secara tidak langsung ia dapat membuka mata masyarakat dalam membuktikan wanita tidak hanya duduk berdiam diri dalam membantu aktiviti kebajikan yang dianjurkan. Menurutnya, Skuad Sayang juga mahu menangkis tanggapan masyarakat bahawa mereka bukan sahaja aktif menjalankan kerja kebajikan malah membuktikan golongan wanita mampu membantu golongan kurang bernasib baik walaupun ada antara mereka mempunyai kerjaya masing-masing. “Skuad Sayang aktif menjalankan kerja amal, malah membuktikan wanita mampu turun padang. “Kita tidak mahu dilabel sebagai pasukan yang hanya bergerak mengikut musim tetapi mempunyai semangat untuk terus berkhidmat dalam masyarakat tidak kira bangsa dan agama,” katanya. Sementara itu, Zabaidah berkata, kunjungan ke rumah bekas wartawan salah sebuah akhbar berkenaan turut memberi peluang kepada ahlinya bertukar-tukar fikiran dengan wartawan terbabit. Tambahnya lagi, sebelum ini Hamzah telah banyak berjasa menyampaikan maklumat kepada masyarakat tetapi pada hari ini masyarakat pula memainkan peranan untuk mengunjunginya yang dalam kesusahan. Hamzah berkata, dia berterima kasih kepada masyarakat yang sudi menziarahinya dan menyifatkan kunjungan tersebut sangat bermakna untuk dirinya. Menurut Hamzah, tangannya yang patah menyebabkannya terpaksa mengharapkan bantuan keluarga untuk melakukan sesuatu. “Saya berharap aktiviti ziarah ini diteruskan pada masa hadapan tidak kira bangsa dan kawasan bagi merapatkan hubungan kekeluargaan dalam masyarakat,” katanya. Turut hadir, Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Telok Datok diketuai Zawalajam Mashod.







Tiada ulasan:

Sulami Kasih

 Alhamdulillah,14 Oktober 2023 yang lalu,merupakan 1 kenangan yang terindah buat aku. 1 penghormatan dan penghargaan buat diri aku atas sega...